Resepi Nasi Beriani bersama Kari Kambing dan Ayam Goreng Berempah

Minggu untuk rumah terbuka masih berjalan. Selagi bulan Syawal belum berakhir, selagi itulah program rumah terbuka akan terus diadakan untuk meraikan tetamu dan rakan-rakan yang belum bertandang semasa Hari Raya Aidilfitri. Juadah apa yang akan menjadi pilihan anda untuk menjamu selera para tetamu? Jom puan-puan adik kakak tengok menu hari ini. Menu istimewa hari ini ialah Nasi Beriani dan beberapa lauk iringannya. Mana ada orang makan nasi sahaja, mestilah dengan lauk-pauk yang menyelerakan. Kita terus tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak nasi beriani.

Nasi beriani sedap dimakan..yam yam yam....


NASI BERIANI

2 kg beras basmathi (apa-apa jenama) - cuci bersih-bersih dan toskan
2 liter air
1 tin susu cair (apa-apa jenama)
100 gram rempah beriani - jadikan pes
10 camca besar minyak sapi
15 ulas bawang merah (dimayang halus)
7 ulas bawang putih (dimayang halus)
5 cm halia (dimayang halus)
garam seadanya

Bahan A
2 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih

Bahan B
1 camca teh pewarna kuning
100 gram kacang gajus (digoreng kekuningan)
50 gram kismis hitam
50 gram bawang goreng
50 gram daun ketumbar
50 gram daun pudina

2 helai daun pandan
250 gram yogurt
2 camca besar air mawar

Cara penyediaanya:

1. Panaskan minyak sapi dan tumiskan bahan yang telah dimayang halus sehingga naik bau dan kekuningan. Kemudian masukkan pes rempah beriani, tumis sehingga pecah minyak.

2. Selepas itu, masukkan bahan A, air, susu cair, yogurt, air mawar, daun pandan dan garam secukup rasa beserta beras basmathi. Kacau rata biar mesra semua bahan tersebut. Biarkan air beras kering. Perlahankan api dan tutup periuk dengan rapat-rapat.

3. Apabila nasi telah masak, masukkan pewarna kuning dan bahan B. Tutup semula periuk tersebut selama lebih kurang 8 hingga 10 minit lagi. Daj siap pun nasi beriani kita.

Nasi beriani dah siap. Mari kita siapkan pula lawan nasi beriani tu.

AYAM GORENG BEREMPAH

1 ekor ayam (dipotong 12 bahagian)
2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar serbuk cili
2 camca teh garam
2 camca besar tepung gandum
2 camca besar rempah kurma
5 camca besar halia dikisar hancur lebur bak debu
8 ulas bawang putih juga dikisar hancur
2 biji bawang besar dikisar lumat

Cara menyediakan:

1. Gaulkan ayam dengan semua bahan perapan dan bahan kisar selama lebih kurang 1 jam. Sekiranya diperap lebih lama, rasanya akan lebih "kick".

2.Panaskan minyak masak dan goreng hingga garing. Hidang bawah tudung saji dulu.


Seterusnya, lauk tambahan untuk menggoda lagi selera makan para tetamu, mempersembahkan, KARI KAMBING TERLAJAK SEDAP.

KARI KAMBING

1.5 kg daging kambing segar
750 ml santan pekat
750 ml santan cair  (kedua-dua jenis santan ini diambil daripada 3 biji kelapa yang sama)
5 biji limau nipis diambil jus sahaja

Bahan A (dicincang halus)
5 cm halia
2 biji bawang besar
6 ulas bawang putih

150 gram rempah kari dijadikan pes
2 tangkai daun kari

Bahan B dicincang halus
2 tangkai daun ketumbar
2 tangkai daun pudina
6 biji cili hijau dibelah dua
5 biji tomato dipotong kepada 8 bahagian
Garam secukup rasa dan minyak untuk menumis

Cara penyediaannya:

1. Panaskan minyak dan tumis Bahan A dan daun kari sehingga naik bau. Kemudian masukkan pes kari, tumis sehingga ianya pecah minyak.

2. Selepas itu, masukkan santan cair dan daging kambing yang setia menunggu. Tunggu hingga daging empuk , barulah dimasukkan santan pekat , jus limau nipis serta bahan perasa secukupnya.

3. Akhir sekali, masukkan cili hijau, tomato dan Bahan B. Kacau sehingga sebati dan hidangkan lagi di bawah tudung saji sebab kita nak masak satu lagi menu.


DALCA KEBENARAN

200 gram minyak sapi

Bahan A
2 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
2 biji bunga lawang
2 tangkai daun kari lagi

3 biji kelapa dijadikan santan pekat

6 biji ubi kentang dipotong dadu
2 biji lobak merah dipotong dadu
3 biji terung bulat dipotong dadu

Bahan C
100 gram kacang bendi dipotong sepanjang 5 cam
300 gram kacang panjang dipotong sepanjang 5 cm
6 biji tomato dipotong kepada 6 bahagian

Bahan B
10 ulas bawang merah dikisar halus
5 ulas bawang putih dikisar halus

150 gram rempah kari dijadikan pes
200 gram kacang dal direndam sebentar

Cara penyediaan:

1. Rebuskan kacang dal tersebut selama lebih kurang 1-3 jam atau sehingga betul-betul empuk.

2. Panaskan minyak sapi dan tumis Bahan A sehingga naik bau. Selepas itu masukkan pula Bahan B dan tumis sehingga ia agak kekuningan.

3. Kemudian masukkan pes rempah, tumis sehingga ia pecah minyak dan masukkan santan serta bahan yang telah dipotong dadu. Apabila bahan tadi dah empuk, masukkan kacang dal tunggu sehingga kuah memekat.

4. Akhir sekali, masukkan Bahan C dan tunggu sehingga mendidih. Perasakan secukupnya dan bolehlah dihidang bersama-sama lauk-lauk yang lain.

Wow! Hebat puan-puan. Dapat masak kesemua hidangan ini. Para anak gadis pun pasti mampu mencuit hati dan perasaan bakal mak mertua sekiranya air tangan anda disajikan kepada mereka. Jangan lupa baca doa makan sebelum makan. Selamat menjamu selera dan berumah terbuka!









0 comment... add one now