Panduan dan Tips Membela Ikan Hiasan


Aku ingin berkongsi sedikit panduan (sebenarnya pengalaman) kepada mereka yang ingin berjinak-jinak untuk memulakan hobi memelihara ikan hiasan di dalam akuarium di rumah masing-masing. Memelihara ikan hiasan ini bukan sekadar mengisi air ke dalam akuarium dan terus memasukkan beberapa jenis ikan yang difikirkan cantik dan indah pada pandangan mata. Ilmu dan sedikit kemahiran sangat diperlukan sebelum anda memulakan hobi ini. Siapa tahu, bermula dari hobi mudah ini, anda boleh menjana pendapatan sebagai penternak ikan hiasan, pengedar ikan hiasan dan sebagai penggubah akuarium untuk pelanggan-pelanggan yang tidak mahir dan kesuntukan masa untuk memulakan hobi ini.

Perkara pertama yang anda harus tetapkan di dalam hati dan minda ialah apakah jenis ikan hiasan yang akan anda pelihara. Adakah ikan air tawar atau pun ikan air masin? Kos untuk pemeliharaan ikan air masin adalah agak tinggi dan proses penjagaan ikannya pun agak cerewet dan memerlukan lebih perhatian anda. Jadi, sebagai jalan mudah pilihlah ikan air tawar kerana kosnya yang mampu milik, mudah penjagaannya dan stok ikan senang diperoleh.

Kemudian barulah anda boleh menentukan saiz akuarium untuk dibeli dan pastikan rumah anda mempunyai ruang yang sesuai untuk menempatkan akuarium ini. Lebih elok dan mudah sekiranya ruang untuk meletakkan akuarium itu nanti berhampiran dengan sumber kuasa kerana anda perlu memasang beberapa peralatan elektrik untuk akuarium tersebut. 
Contoh akuarium ikan hiasan yang boleh dihias di dalamnya dengan pelbagai cara
Seterusnya anda perlu memiliki pam dan penapis air. Pendapat aku mengatakan dua item ini adalah sangat penting dan wajib bagi ikan-ikan meneruskan kelangsungan hidup mereka di dalam akuarium nanti. Penapis air fungsinya adalah seperti namanya iaitu menapis air daripada sebarang kekotoran yang terdapat di dalam akuarium contohnya najis ikan dan juga sisa-sisa makanan yang tidak habis dimakan oleh ikan. Ia secara langsung menapis semua kekotoran dan melambatkan proses air akuarium menjadi busuk dan keruh. Pam pula adalah untuk menyedut air dari akuarium naik dan masuk ke dalam penapis. Saiz dan kuasa pam pula perlu bersesuaian dengan saiz akuarium, ini kerana saiz pam yang besar memang tidak sesuai untuk digunakan bersama akuarium yang kecil kerana ada kemungkinan ikan-ikan hiasan yang kecil dan lemah boleh disedut dan melekat di dalam pam yang sudah pasti akan membunuh ikan-ikan comel tersebut. Kebanyakan pam adalah jenis submersible iaitu ditenggelamkan di dalam air sepenuhnya bagi memudahkan dan melancarkan proses sedutan kekotoran.

Contoh  pam dan bekas penapis air (span penapis tiada dalam gambar)

Pemasangan dan kedudukan pam dan penapis juga penting bagi memastikan aliran air tersebut betul dan semua kekotoran di dalam akuarium dapat ditapis dengan sempurna. Malang sekiranya pam dan penapis air telah disediakan tetapi tidak mampu berfungsi secara optimum kerana kedudukan pemasangan yang salah. Di sinilah ilmu dan pengetahuan memainkan peranan.

Kedudukan pam dan penapis air yang dicadangkan untuk kitaran air yang betul

Seterusnya, bolehlah dimasukkan air paip rumah anda. Isikan air setakat yang diinginkan sahaja. Jangan diisi terlalu penuh kerana pengalaman aku, ikan-ikan anda boleh 'dipancing' dengan bijak oleh si cicak durjana. Suka diingatkan juga, sekiranya anda telah membeli perhiasan akuarium seperti batu gunung berapi, batu kerikil yang cantik dan berwarna-warni, pokok tiruan hiasan dan sebagainya boleh diletak dan dihias kedudukkannya terlebih dahulu sebelum dimasukkan air. Ia akan menjadi sukar untuk menghias sekiranya akuarium telah diisi air terlebih dahulu. Selain itu, air tersebut mungkin akan dicemari dengan apa sahaja kekotoran yang ada pada tangan kita. Setelah air dah siap diisi, jangan anda terlalu gopoh hendak memasukkan ikan-ikan ke dalam akuarium. INGAT! Air paip dipenuhi dengan klorin untuk membunuh kuman dan apa-apa yang mungkin boleh membahayakan kita. Jadi, masukkan anti klorin mengikut kuantiti seperti yang dicadangkan pada botol. Biarkan anti klorin ini meresap dan bersebati di dalam air dahulu. Nasihat aku, pasangkan pam dan biar air berpusing selama satu atau dua hari kerana di dalam tempoh tersebut, anti klorin akan bertindakbalas dan membebaskan semua klorin di dalam air ke udara dan seterunya menyediakan medium yang betul untuk ikan-ikan hiasan. 

Anti klorin.  RM 2.00
Sebagai tambahan, aku juga menambah anti bakteria ke dalam air untuk mencegah penyakit bawaan air kepada ikan-ikan hiasan. Anda pasti tidak ingin melihat ikan-ikan tersebut mengalami bengkak mata, sisik tertanggal dan ekor yang rosak. Anti bakteria dan anti klorin ini sememangnya boleh dibeli di kedai ikan hiasan.

Anti bakteria RM 3.50
Selepas cukup tempoh sehari atau dua hari, akuarium anda sudah bersedia untuk menerima penghuni barunya. Inilah detik yang paling anda tunggu. Masa untuk melepaskan ikan-ikan hiasan anda. Sebagai peringatan juga, ini ialah tips daripada budak yang menjaga ikan di kedai. Jangan letakkan ikan yang tidak bersesuaian spesies ke dalam akuarium yang sama. Padah jadinya kerana ada ikan yang akan menjadi mangsa kepada ikan lain. Contohnya, ikan Tiger Barb tidak boleh diletakkan bersama-sama ikan gapi kerana Tiger Barb ialah ikan yang garang dan menguasai kawasan. Kawanan gapi akan diserang dan dibunuh oleh ikan ini. Latihlah diri untuk bermula dengan ikan hiasan yang biasa-biasa tetapi cantik seperti gapi, tetra neon, platy dan red zebra.

Tiger Barb yang garang dan lasak

Green tiger barb, cantik tapi masih garang
Ikan yang disyorkan untuk amatur macam aku
Red Zebra

Neon Tetra..cantik tapi agak mahal

Ikan gapi, cantik dan murah

Ikan platy, menambah seri kerana berwarna terang

Akhir sekali ialah makanan untuk ikan-ikan ini. Ikan kecil tidak memerlukan makanan yang banyak dan kerap. Kebanyakan ikan kecil boleh memakan makanan yang sama. Contoh makanan ikan yang aku beli ialah untuk ikan gapi tetapi ade spesies ikan lain boleh memakan makanan tersebut. Jadi tidak perlu membeli pelbagai jenis makanan ikan. Cukuplah satu botol ini yang boleh bertahan untuk satu bulan.
Makanan ikan. RM 8.00
Tips terakhir ialah:
  • Jangan memberi terlampau banyak makanan kepada ikan hiasan anda. Lebihan makanan akan membuatkan air akuarium anda cepat busuk dan kotor.
  • Pastikan air akuarium selalu bersih dan selalu ditukar. Selalu ditukar bukan bermaksud anda perlu menukar air seminggu sekali tetapi anda secara semulajadi akan dapat mengagak bilakah masa yang sesuai untuk menukar air akuarium itu. Sebagai tambahan, tidak perlu membuang 100% air yang asal (70% sudah memadai) kerana ikan-ikan tidak hidup di dalam air yang tersangat bersih dan kita cuba mewujudkan keadaan semulajadi bagi ikan-ikan ini.
  • Pastikan pam selalu berfungsi dengan baik untuk menapis sebarang kekotoran.
  • Span penapis air juga perlu selalu dibersihkan. Ini boleh dilakukan seminggu sekali kerana span penapis ini berfungsi sepanjang masa untuk menapis kekotoran.
  • Pastikan anda mengasihi ikan-ikan hiasan ini kerana mereka juga makhluk bernyawa seperti kita. 
Hasil akhir akuarium di rumah aku untuk anak-anak melihat indahnya ciptaan Ilahi












2 comments.. read them below or add one

raihanah raihanah August 10, 2016
boleh bagi anak saya baca posting ni, dia minat bela ikan
Afiq Rayyan Afiq Rayyan August 10, 2016
sila2..sbb ada doktor atau ibu yg update kat fb psl anak lelaki ptt kene panas, lasak, bela ikan ke ape semua..utk perkembangan dorang jugak..